Negatifnya Kita Dalam Diam

Sebenarnya saya dah berkali katakan hal ini, namun lumrah kita sebagai manusia, ada yang dengar dan ada yang tidak. Ada yang mengambil iktibar dan ada yang tidak. Apa yang saya tulis di sini lebih kepada teguran dari seorang kawan.

Respon fikiran Anda pada orang lain, situasi, keadaan, perkara dan benda menentukan positif atau negatifnya Anda dari dalam minda. Anda adalah apa yang Anda fikirkan bilamana melihat pada orang lain, tak kira sama ada adik beradik Anda, kawan, rakan sekerja mahupun orang serumah. Respon minda Anda dan tanggapan dalam persepsi Anda menentukan positif atau negatifnya attitude yang Anda miliki.

Contoh, Program Angkasawan Negara. Sesetengah orang lebih banyak berfikir negatif tentang program itu, mengungkit tentang pembaziran duit hasil cukai yang dilakukan kerajaan dan kredibitili Dr Sheikh yang kononnya tak setanding dengan Angkasawan lain di luar negara. Pandangan sebegini adalah pendapat negatif dan bila Anda berpendapat yang sama, maknanya Anda berfikiran negatif.

Walau tak banyak tapi ada. Ye tak?

Sesetengah orang pula, jadi cukup bersemangat bila memikirkan pencapaian Dr Sheikh Muszaphar yang baginya luarbiasa. Ada yang menjadikan beliau sumber inspirasi, penyuntik semangat dan role model untuk berusaha serajin mungkin. Jika Anda selalu jadi bersemangat bila memikirkan Dr Sheikh, maka Anda tergolong dalam golongan orang yang berfikiran positif.

Tahniah!

Sedarilah bila Anda suka melihat pada aspek negatif dalam apa saja yang Anda perkatakan, pendapat Anda dan ayat-ayat yang terpacul dari mulut Anda, maknanya fikiran Anda negatif. Susah Anda nak tukar kepada fikiran positif dan tindakan positif bahkan Anda rugi kerana tidak dapat menggunakan kelebihan kuasa minda yang dikurniakan kepada kita sebagai khalifah dimuka bumi.

Dalam diam, Anda telah menggunakan kuasa minda separa sedar Anda untuk menarik situasi-situasi negatif yang Anda sendiri tak mahu, seperti masalah kewangan, kemurungan emosi, stress ditempat kerja, susah hati, hubungan peribadi yang bermasalah dan hutang yang tak berkesudahan. Soal fikiran positif dan negatif sebenarnya hal yang remeh tapi kebanyakan kita terlepas pandang hal asas sebegini.

Jika kita negatif dari dalam minda, maka negatif juga hasil yang kita dapat walau sekuat mana usaha. Orang yang berfikiran negatif dan bertindak negatif, jalan hidupnya negatif saja, mendatar dan takde kemajuan, sebab fikirannya menarik fikiran orang lain yang negatif, situasi negatif dan hasil usaha yang negatif. Graf hidupnya tak menceracak, tapi masih di garis yang sama.

Tukar pemikiran Anda hari ini. Lihat sinaran mentari disebalik mendungnya awan tengahari.

Lihat aspek positif dalam apa jua keadaan dan latih diri untuk bersangka baik pada Allah, takdir dan apa jua yang mendatang. Baik atau buruk, Anda adalah apa yang Anda fikirkan.

Berfikiran negatif membuat Anda ketinggalan.

Orang lain dah maju, Anda masih terceruk di situ.

Get Up!

Shueqry
blogger motivasi Malaysia

Share This Post

Komen? Pendapat?